CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, 16 May 2008

Catatan Harian : 16 Mei 2008

Hari ini saya bersolat Jumaat di Malaysian Hall London. Seperti biasa, dewan yang menempatkan tempat Solat Jumaat penuh dengan para jemaah yang belajar dan bekerja di sekitar London. Bukan sahaja orang Islam dari Malaysia yang memenuhi Dewan ini malahan ada juga para jemaah dari kalangan orang bukan Warganegara Malaysia.

Seperti biasa, khatib pada hari ini adalah Ustaz Erfino, selaku Pegawai Agama di MSD London. Khutbah hari ini berkisar mengenai syariah dalam kehidupan dan menjana peribadi unggul melalui pengorganisasian yang betul. Bila Khatib membaca khutbah secara dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, teringat pula suasana Solat Jumaat di Masjid Besar UIAM. Cuma kadang-kadang, ada juga sesetengah khatib di Masjid Besar UIAM yang terdiri daripada Pensyarah UIAM akan berkhutbah dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Arab kemudian dalam Bahasa Inggeris dan seterusnya dalam Bahasa Melayu dalam satu khutbah. Paling kagum ialah apabila khatib yang berasal dari Negara Arab seperti Prof Dato' Dr. Sano Koutub (Timbalan Rektor UIAM) yang boleh berkhutbah dalam Bahasa Melayu.

Selesai sahaja Solat, saya terus keluar dari dewan dan saya terserempak dengan Y.B. Ahli Parlimen Tumpat yang juga Setiausaha Agung bagi Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu YB Dato' Kamarudin Jaafar yang kebetulan bersolat Jumaat di situ juga. Ini kali pertama saya lihat beliau secara berdepan, sebelum ini saya hanya lihat beliau melalui dada akhbar dan laman-laman web sahaja. Saya lihat Y.B diiringi oleh beberapa individu yang 'familiar' di pandangan mata saya. Mungkin para pemimpin politik pemuda dari Malaysia. Lagipun muda-muda dan 'hebat-hebat' belaka nampaknya. Hajat di hati hendak bertegur sapa dengan Y.B dan bergambar dengan beliau tetapi terlalu ramai yang datang berjumpa dan bertanya khabar kepada beliau. Saya hanya sempat lihat dari jauh sahaja...Mungkin di lain waktu...

Selesai sahaja saya beli makanan untuk di'tapau' pulang, saya terus pulang ke rumah...

0 comments: