CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, 31 May 2008

Catatan Perjalanan : Trip to Leiden, Amsterdam, Den Hague and Delft at Holland

Saya dan isteri baru sahaja pulang daripada melawat Negara Holland. Sepanjang kami di sana, kami telah menginap di rumah kakak dan abang ipar saya di Leiden, Holland. Alhamdulillah, sepanjang 4 hari kami berada di sana, kami sempat melawat keseluruhan kawasan di Leiden, beberapa kawasan di Kota Amsterdam, Den Hague dan juga di Delft.

Mengikut pemerhatian kasar saya, Bandar Leiden adalah bandar yang paling menarik di antara semua bandar yang sempat kami lawati semasa berada di Holland. Bandar Leiden ini dikelilingi oleh sungai dan dipenuhi dengan taman-taman bunga yang indah-indah. Seperti yang diketahui umum, Bandar Leiden juga dikenali sebagai Bandar Universiti kerana di situ terdapatnya Universiti Leiden. Tidak hairanlah jika di Leiden ini begitu ramai penduduknya adalah dari kalangan para pelajar Universiti.

Satu lagi keistimewaan di Holland ini juga, kita mudah untuk mendapatkan Makanan Halal. Dengan kewujudan banyak restoran Halal di sini, ia telah memudahkan kami dari segi soal makanan dan minuman. Terima kasih tidak terhingga kepada kakak dan abang ipar saya yang telah banyak meluangkan masa bersama kami membawa kami melawat pelbagai tempat menarik di sekitar Bandar Leiden hatta kami juga telah di bawa melawat beberapa fakulti di sekitar Universiti Leiden. InsyaAllah, jika ada rezeki, kami akan ke Holland sekali lagi pada masa akan datang.

Buat Kak Ju dan Abe Mie, kami berdua menunggu pula kedatangan anda ke London pada Bulan Julai nanti..











Sunday, 25 May 2008

Catatan Harian : 25hb Mei 2008

Hari ini, saya dan isteri bersama kakak dan abang ipar saya menghabiskan masa dengan ronda-ronda di sekitar Bandar Leiden di Belanda. Bandar Leiden ini dipenuhi dengan tasik dan taman-taman bunga yang cukup indah. Penduduknya amat baik dan ramah-ramah belaka. Pengangkutan utama penduduk di sini ialah basikal. Selain menghabiskan banyak masa mengunjungi gerai-gerai jualan pelbagai barangan di sini, kami juga sempat dibawa melawat Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pengajian Agama di Leiden University. Reka bentuk bangunan dan rumah kediaman di Leiden cukup cantik dan mempersonakan mata. Esok saya dan isteri akan melawat Bandar Amsterdam, Den Hague dan jika ada kesempatan, kami akan berkunjung ke Bandar Rotterdam. InsyaAllah, gambar-gambar kami semasa berkunjung di Belanda ini akan di'upload' apabila pulang ke London nanti.

Friday, 23 May 2008

Ziarah ke Leiden di Belanda (Holland)

Malam ini, saya dan isteri akan menuju ke Leiden yang terletak di Belanda. Kami akan ke sana dengan menaiki Easy Jet yang akan berlepas dari Stansted Airport di London. Penerbangan jet tersebut akan menuju ke Amsterdam Airport dan dari Amsterdam, kami akan menaiki train untuk terus ke Leiden Central. Kebetulan kakak saya (Che Zuhaida) dan suaminya (Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi) sedang menetap di Leiden, Belanda. Kakak saya ini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Perundangan Aero Angkasa (Aerospace Law) di Leiden University dan suaminya pula bertugas sebagai Fellow di universiti yang sama.

Ini adalah kali pertama kami menjejakkan kaki ke bumi Belanda. InsyaAllah perjalanan kami ke Belanda pada kali ini akan dapat memberi seribu satu kenangan dan pengalaman yang berharga kepada kami. Kami akan pulang kembali ke London pada hari Selasa nanti. Saya perlu bertugas semula pada hari Rabu. Semoga perjalanan kami akan diberkati Allah SWT dan sentiasa di bawah ziaamah (jagaan) Rasulullah SAW...Amiinn..

Monday, 19 May 2008

Catatan Harian : 19 Mei 2008

Nampak gayanya cuaca di Kota London ini sudah menjadi tidak menentu. Sekejap panas dan tiba-tiba sejuk balik. Ini dah 2 hari dah suhu di London kembali sejuk. Yang membuatkan saya sedikit 'terkilan' ialah apabila pihak pengurusan rumah pelajar tempat saya dan isteri duduki ini telah menutup semua 'heater' di semua rumah pelajar-pelajar. Nak jimatkan gas agaknya. Dengan suhu yang sejuk dan tinggal di dalam rumah dengan 'heater' yang tidak dapat digunakan, memang betul-betul menguji kesabaran hati. Saya terpaksa memakai baju tebal setiap masa walau berada dalam rumah. Tidur pun boleh terjaga secara tiba-tiba dan pernah juga kaki saya tiba-tiba 'cramp' semasa tidur kerana kesejukan.

Saya pergi bertanya kepada Pejabat Resident Hall dan staff di sana memberitahu kepada saya yang mereka memang sengaja tutup semua 'heater' secara 'centralise' sebab dah masuk musim panas katanya. Memang masa mereka tutup 'heater' tu, suhu dah panas tetapi sejak 2 hari ini, suhu dah semakin sejuk kembali (kira-kira 8 ke 10 darjah celcius). Rasanya ini tidak adil kerana bayaran sewa tetap sama. Tidak berubah sesen pun walau mereka tutup 'heater'. Saya tetap juga kena bayar sewa rumah sebanyak 708 Pound Sterling sebulan (bersamaan kira-kira RM4,460.40 sebulan). Sabar jerlah..

Alternatifnya, esok saya terpaksa mengambil inisiatif dengan membeli 'heater' sendiri bagi menghilangkan kesejukan...Naik rimas jadinya dengan 24 jam terpaksa pakai stokin, baju dan seluar yang tebal walau berada di dalam rumah..

Sunday, 18 May 2008

Penyembelihan Haiwan Secara Islam - Penjelasan Secara Saintifik

Apabila kita menetap di Negara Luar dari Malaysia lebih-lebih lagi di Negara yang majoriti rakyatnya bukan Penganut Agama Islam maka isu Makanan Halal menjadi perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh sekalian Umat Islam. Alhamdulillah, kami di London tidak mempunyai banyak masalah dalam mendapatkan makanan halal seperti daging haiwan halal iaitu ayam dan daging kerana kewujudan banyak kedai halal di pelusuk London.

Ada di kalangan rakan kami yang Bukan Beragama Islam mempertikai cara penyembelihan haiwan yang dilaksana mengikut Kaedah Islam. Alasan mereka ialah kasihan kepada haiwan yang dibiarkan meronta-ronta kesakitan dan penyembelih melakukan penyeksaan kepada haiwan tersebut kerana membiarkan haiwan itu meronta-ronta dalam satu jangka masa sebelum mati. Tidak seperti mereka yang kebanyakannya menyembelih haiwan dengan renjatan elektrik dan ada juga memotong keseluruhan kepala haiwan secara terus agar haiwan itu mati secara serta merta.

Maka dengan ini, suka saya nukilkan di sini mengenai penjelasan hikmah penyembelihan haiwan secara Islam berdasarkan kajian saintifik untuk diterangkan kembali oleh kita semua jika ada rakan-rakan yang Bukan Beragama Islam yang mempersoal cara penyembelihan haiwan mengikut cara Islam.

Dalam Istilah Bahasa Arab, perkataan 'sembelih' disebut 'Zakkaytun' iaitu kata kerja yang berasal daripada perkataan 'Zakka' yang bermaksud 'menyucikan'.

Terdapat 4 Syarat Utama Penyembelihan Haiwan dalam Islam:-

1) Penyembelih dikehendaki menggunakan alatan yang tajam ketika memotong leher binatang agar darah dapat mengalir dan memutuskan urat pernafasan dengan baik serta binatang itu akan cepat mati.

2) Penyembelih hendaklah menyembelih binatang di bahagian leher yakni dipotong salur udara, kerongkong dan saluran darah leher tanpa dikerat gantian sarat di dalam tulang belakang.

3) Penyembelih hendaklah TIDAK menyebut selain HANYA menyebut nama ALLAH SWT

4) Penyembelih hendaklah menyebut nama ALLAH SWT ke atas haiwan sembelihannya.

Terdapat pelbagai hikmah dari sudut kajian saintifik terhadap cara penyembelihan haiwan seperti yang dianjurkan oleh Islam. Antaranya ialah:-

1) Darah perlu disalir sepenuhnya sebelum kepala dibuang yang bertujuan untuk mengeluarkan sebahagian besar darah haiwan yang akan menjadi bahantara mikroorganisma. Gantian saraf dalam tulang belakang tidak boleh dipotong kerana akan boleh merosakkan gentian saraf ke jantung semasa proses itu dan mengakibatkan jantung terhenti dan akan dapat menghentikan darah ke saluran darah dan akhirnya darah tidak dapat disalur keluar dari badan haiwan tersebut.

2) Darah yang berada dalam haiwan adalah bahantara kuman dan bakteria. Penyembelihan secara Islam adalah jauh lebih bersih kerana darah yang mengandungi kuman, bakteria, toksin, dan lain-lain yang menyebabkan penyakit pada manusia akan dapat dibuang.

3) Daging haiwan akan kekal segar dengan lebih lama kerana pengurangan darah pada daging haiwan sembelihan jika dibandingkan dengan cara penyembelihan haiwan yang lain.

4) Haiwan sembelihan tidak akan merasa kesakitan penyembelihan kerana keratan pantas salur darah pada leher haiwan sembelihan itu akan dapat menghentikan pengaliran darah ke saraf otak yang boleh menyebabkan kesakitan. Oleh itu, ketika haiwan hampir mati, haiwan itu akan meronta, menendang dan menggeletar. Ini BUKAN disebabkan kesakitan tetapi akibat penegangan darah dan akibat daripada pengaliran darah daripada haiwan tersebut.

Friday, 16 May 2008

Catatan Harian : 16 Mei 2008

Hari ini saya bersolat Jumaat di Malaysian Hall London. Seperti biasa, dewan yang menempatkan tempat Solat Jumaat penuh dengan para jemaah yang belajar dan bekerja di sekitar London. Bukan sahaja orang Islam dari Malaysia yang memenuhi Dewan ini malahan ada juga para jemaah dari kalangan orang bukan Warganegara Malaysia.

Seperti biasa, khatib pada hari ini adalah Ustaz Erfino, selaku Pegawai Agama di MSD London. Khutbah hari ini berkisar mengenai syariah dalam kehidupan dan menjana peribadi unggul melalui pengorganisasian yang betul. Bila Khatib membaca khutbah secara dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, teringat pula suasana Solat Jumaat di Masjid Besar UIAM. Cuma kadang-kadang, ada juga sesetengah khatib di Masjid Besar UIAM yang terdiri daripada Pensyarah UIAM akan berkhutbah dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Arab kemudian dalam Bahasa Inggeris dan seterusnya dalam Bahasa Melayu dalam satu khutbah. Paling kagum ialah apabila khatib yang berasal dari Negara Arab seperti Prof Dato' Dr. Sano Koutub (Timbalan Rektor UIAM) yang boleh berkhutbah dalam Bahasa Melayu.

Selesai sahaja Solat, saya terus keluar dari dewan dan saya terserempak dengan Y.B. Ahli Parlimen Tumpat yang juga Setiausaha Agung bagi Parti Islam SeMalaysia (PAS) iaitu YB Dato' Kamarudin Jaafar yang kebetulan bersolat Jumaat di situ juga. Ini kali pertama saya lihat beliau secara berdepan, sebelum ini saya hanya lihat beliau melalui dada akhbar dan laman-laman web sahaja. Saya lihat Y.B diiringi oleh beberapa individu yang 'familiar' di pandangan mata saya. Mungkin para pemimpin politik pemuda dari Malaysia. Lagipun muda-muda dan 'hebat-hebat' belaka nampaknya. Hajat di hati hendak bertegur sapa dengan Y.B dan bergambar dengan beliau tetapi terlalu ramai yang datang berjumpa dan bertanya khabar kepada beliau. Saya hanya sempat lihat dari jauh sahaja...Mungkin di lain waktu...

Selesai sahaja saya beli makanan untuk di'tapau' pulang, saya terus pulang ke rumah...

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru kepada semua Guru di Malaysia khususnya dan semua Guru di seluruh dunia amnya. Terima kasih kepada Guru-Guru yang berkorban dengan sepenuh hati bagi mendidik anak-anak bangsa menjadi satu generasi yang cemerlang. Ayah saya juga adalah seorang Pesara Guru Besar dan saya amat berbangga menjadi anak kepada seorang Guru.

Kalau hendak diceritakan perihal Guru-Guru yang pernah mendidik saya seawal dari Sekolah Rendah (SRK Tengku Indera Putera), Sekolah Menengah (SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan) sehinggalah ke Peringkat Universiti (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), terdapat pelbagai kisah suka dan duka bersama guru-guru dalam menjana peribadi diri menjadi insan yang berilmu.

Masih lagi teringat semasa belajar di Sekolah Rendah, seorang guru saya iaitu Cikgu Rogayah pernah memarahi dan mencabar saya kerana saya hanya mendapat B dalam keputusan percubaan UPSR bagi Matapelajaran Matematik. Macam-macam ayat dia 'bantai' saya supaya saya berusaha dengan lebih kuat lagi..hehe..Alhamdulillah, saya sahut cabarannya dan berjaya mendapat A dalam peperiksaan UPSR yang sebenar. Terima kasih saya ingin ucapkan kepada Ustaz Sulaiman (Allahyarham) dan Ustazah Zaharah yang tidak jemu-jemu melatih saya sehingga saya berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Bercerita Kisah-Kisah Nabi di Peringkat Seluruh Negeri Kelantan. Terlalu banyak masa mereka dihabiskan untuk melatih saya supaya lancar dalam penceritaan dan tidak gugup dihadapan juri dan penonton. Masih teringat lagi selepas sahaja pertandingan itu, minggu depannya saya diberi penghormatan oleh sekolah untuk berceramah mengenai Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail semasa perhimpunan sekolah diadakan. Habis sahaja ceramah saya, Guru Besar pada ketika itu naik ke pentas secara tiba-tiba dan secara spontan
beliau menyeluk poketnya dihadapan semua pelajar dan mengeluarkan wang kertas bernilai RM 50 dan terus diserahkan kepada saya sebagai tanda penghargaan. Ada di antara guru-guru saya terkejut kerana 'aktiviti' serah duit itu tiada dalam jadual perhimpunan.hehe.rakan-rakan di bawah pentas, semuanya tergelak..haha..rezeki saya agaknya pada masa itu..terima kasih..

Kenangan di Sekolah Menengah pula, teringat kepada seorang Ustaz saya yang bernama Ustaz Zawawi. Beliau mengajar saya dan rakan-rakan lain dalam matapelajaran Feqah. Semasa beliau mengajar kami, semua rakan-rakan sekelas akan memberi sepenuh perhatian kepada pengajarannya lebih-lebih lagi kalau belajar Bab Nikah Kahwin (Bab An-Nikah). Haha..Kadang-kadang masa selama sejam dirasakan baru seminit berlalu..Macam-macam soalan yang ditanya oleh rakan-rakan lain dan Ustaz Zawawi ini pula akan jawab semua soalan sampaila kami faham. Gaya pengajarannya adalah seperti gaya seorang Guru Pondok mengajar. Itu yang membuatkan kami senang dengan corak pengajarannya..Tapi Awas..kalau keputusan peperiksaan dalam matapelajaran Feqah tidak memuaskan...maka rotan akan hinggap di punggung masing-masing sebagai 'hadiah' istimewa..

Itu antara kisah yang sempat saya tulis di sini perihal suka duka belajar dengan Guru-Guru..Banyak lagi sebenarnya dan kalau dihitung jasa guru dalam memberi ilmu kepada kita, rasanya susah untuk kita membalas jasa-jasa mereka. Semoga Allah merahmati mereka semua.

Ala Kullihal..Terima kasih kepada Guru-Guru yang banyak mendidik kami anak Malaysia menjadi generasi yang lebih berwibawa dan taat kepada Agama...

Tuesday, 13 May 2008

Hari Ini di London

Di London sekarang ini, cuaca cukup baik. Jumlah pengunjung ke London juga telah meningkat dengan begitu mendadak. Kalau dilihat dari segi harga tiket penerbangan, keretapi laju dan hotel-hotel di sini, kebanyakannya telah meningkat daripada harga biasa. Kalau dahulu, nak jalan-jalan di sekitar London, baju berlapis-lapis diperlukan untuk menahan kesejukan, tetapi pada masa sekarang, hanya sehelai baju tshirt sahaja sudah OK kalau dipakai. Tidak perlu dengan baju sweater atau yang tebal-tebal. Saya juga dapat lihat, pengunjung dari Malaysia pun berpusu-pusu datang ronda-ronda di sekitar London. Tempahan hotel juga penuh dan kalau nak dapat bilik hotel secara 'on da spot', rasanya susah untuk dapat.


Nah, lihatlah begitu ramai yang beratur untuk masuk ke dalam Madame Tussauds di mana tempat ini adalah salah satu daya tarikan yang menarik para pelancong untuk mengunjunginya. Kalau hendak bergambar dengan patung-patung lilin yang menyerupai selebriti dan pemimpin terkenal dunia, di sinilah tempatnya. Madame Tussauds ini terletak di Baker Street, London. Gambar ini, saya 'snap' dari atas bas semasa saya menuju ke Queensway. Maaf yer sebab gambar sedikit kabur kerana kamera bergegar (ambil gambar semasa bas tengah bergerak)..

Gambar ini pula saya 'snap' di laluan pejalan kaki yang terletak dalam kawasan 'HydePark' di London. Tengok English Guy tu pun hanya memakai seluar pendek dan berbaju t-shirt biasa sahaja. Sebab itu, inilah masa yang sesuai untuk kita semua datang ronda-ronda di London..Cuaca yang baik dan suasana yang menarik..Jadi..jom jom datanglah ke London..hehe

Sunday, 11 May 2008

Mengapa Bulan Februari Kurang Hari

Semua keadaan ini bermula pada kurun kelapan sebelum Masihi (SM) semasa kalendar Rom mula dirancang. Pada masa itu, ada 10 bulan sahaja dalam setahun, Januari dan Februari belum wujud lagi. Kemudian Numa Pompilius, Raja Rom, membuat keputusan menambahkan dua bulan lagi. Maka wujudlah Januari dan Februari dan bilangan hari 355 dalam setahun.

Orang Rom percaya nombor genap akan mengundang nasib yang tidak baik, maka kalendar Rom mempunyai 29 atau 31 hari dalam sebulan. Untuk mendapatkan jumlah 355 hari, satu bulan perlu dikurangkan harinya, maka Februari dipilih untuk tujuan itu.Asalnya, Mac merupakan bulan pertama pada setiap tahun (kini Januari). Februari pula menjadi bulan terakhir dan pada tengah-tengah musim sejuk.

Orang Rom berpendapat, sekiranya ada satu bulan yang dikaitkan dengan nasib tidak baik, biarlah pada bulan yang pendek. Kemudian, Julius Caesar mengubah kalendar Rom dan menambah bilangan hari dalam setahun menjadi 365 hari. Dia tetap membiarkan Februari menjadi bulan yang pendek kerana tiada orang yang menyukai bulan itu. Kalendar itu diberikan nama "Kalendar Julian" dan digunakan sehingga tahun 1582.

Kalendar yang kita gunakan sekarang ialah versi Paus Gregory XIII. Setiap tahun kalendar tepat 365 hari, 5 jam, 48 minit, 46 saat, jadi satu hari perlu ditambah pada setiap empat tahun untuk mengambil kira baki jam-jam itu. Disebabkan itulah adanya tahun lompat (seperti pada tahun ini). 29 hari bulan Februari ditambahkan bagi mencukupkan jumlah bilangan hari yang diperlukan dalam setiap 4 tahun.

Bulan Hijrah lagi tepat.

Artikel ini dipetik dari blog http://anuarmanshor.blogspot.com/ dengan sedikit pengubahsuaian ayat.

Para Wali Dengan Ilmu Tasauf

Hayatilah catatan pengalaman Hujjatul Islam Imam Ghazali yang tercatat dalam Kitabnya Minhajul 'Abidin sebagai satu rumusan mengenai Tasauf ini. Ketahuilah hal ibadat telah cukup kami fikirkan, telah pula kami teliti jalannya dari awal hingga tujuan akhirnya yang diidam-idamkan oleh para penempuhnya(abid/salik/ilmuan). Ternyata suatu jalan yang amat sukar, banyak tanjakan-tanjakannya (pendakiannya), sangat payah dan jauh perjalanannya, besar bahayanya dan tidak sedikit pula halangannya dan rintangannya, samar di mana tempat celaka dan akan binasa, banyak lawan dan penyamunnya, sedikit teman dan penolongnya.

Bayangan salah satu tempat celaka dan binasa ini boleh diambil iktibar dari kisah Sheikh Abdul Qadir Jailani yang pada satu masa berada di dalam hutan tanpa makanan dan minuman beberapa lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan. Dapatlah Sheikh itu menghilangkan dahaganya.

Dengan tidak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar tidak jauh dari situ dan lembaga itu berkata, "Aku ini Tuhan kamu. Sekarang ini aku halalkan segala yang haram untuk kamu". Mendengar itu, Sheikh Abdul Qadir pun membaca; "A 'uzubillahi minassyathonir rajim". Lembaga itu bertukar jadi awam lalu berkata, "Dengan ilmumu dan rahmat Allah kamu telah terselamat dari tipu helahku" Kemudian syaitan itu bertanya kepada beliau bagaimana dia boleh mengenal syaitan itu dengan segera. Jawab Sheikh Abdul Qadir, bahawa apabila syaitan itu mengatakan yang ia menghalalkan yang haram, maka dengan serta-merta ia tahu bahawa bukan datang dari Allah SWT kerana Allah SWT tidak menghalalkan segala yang haram.

(Artikel ini dipetik dari laman
http://suluk98.tripod.com/tasauf3.htm.)

Catatan Harian : 11 Mei 2008

Hari ini saya tidak bertugas dan dengan inisiatif dari rakan-rakan pensyarah UIAM di London, saya, isteri dan 3 lagi rakan iaitu Dr. Noraini, Bro. Faizul dan Sis. Nana membuat perjumpaan di Cafe Malaysia Hall London. Kami bertemu untuk membincangkan beberapa perkara yang perlu di'finalise' sebelum program khas UIAM berlangsung di Dewan MSD London iaitu pada 6hb sehingga 8hb Mei 2008 nanti.

Kelihatan dalam gambar (t-shirt berwarna biru) adalah 'Pak Awie' iaitu individu yang akan bertanggungjawab menyediakan makanan kepada semua peserta sepanjang 3 hari program itu berlangsung. Semoga semuanya akan berjalan dengan lancar dan kami sebagai pihak urusetia program UIAM di London sudah bersedia menerima kehadiran Barisan Pengurusan dan Kepimpinan Tertinggi UIAM yang diketuai oleh Presiden UIAM, Tan Sri Dato' Sri Sanusi Bin Junid dan Rektor UIAM, Prof. Dato' Dr. Syed Arabi Idid.

Keselamatan Penggunaan Internet

Berjuta-juta Laman Web Perhubungan Sosial telah wujud di alam maya dan antara yang popularnya ialah seperti Friendster, MySpace dan Facebook. Beberapa Pakar Keselamatan Komputer telah memberi amaran di mana kita boleh meletakkan diri kita dalam keadaan risiko bahaya seperti identiti diri dicuri apabila menggunakan perkhidmatan laman web sebegini. Kita perlulah mengambil beberapa langkah keselamatan agar sebarang jenayah siber dapat dielakkan.

Antara Langkah-Langkah Keselamatannya ialah seperti:-

1) Periksa polisi keselamatan website

Sesetengah Laman Web akan membenarkan sesiapa sahaja mengakses semua data peribadi kita. Jika boleh, halang orang yang tidak dikenali daripada mengakses profil peribadi kita. Hanya individu yang boleh dipercayai sahaja yang boleh kita benarkan.

2) Kata kunci rahsia (Password)

Kalau boleh, jangan jadikan nama penuh, alamat, nombor h/phone atau apa-apa maklumat peribadi yang biasanya dijadikan Kata Kunci (Password) rahsia bagi urusan peribadi. Gunakan katanama yang tidak mempunyai maklumat peribadi.

3) Internet boleh diakses oleh orang ramai.

Hanya letak perkara ataupun maklumat yang anda tidak kisah apabila diketahui oleh orang ramai. Selepas itu, maklumat yang dipaparkan oleh kita tidak boleh diambil kembali walupun kita telah memadamkan maklumat tersebut kerana versi lama maklumat tersebut mungkin wujud dalam komputer peribadi pelayar internet yang lain. Berhati-hati juga apabila memaparkan gambar peribadi di dalam laman web kerana ianya boleh diubah sesuka hati oleh pelayar web yang lain dan boleh menimbulkan keadaan yang tidak baik di kemudian hari.

Peranan Jurulatih Latihan (Trainer)

Peranan seseorang Jurulatih dalam sesebuah organisasi tidak terikat hanya kepada menguruskan program latihan semata-mata tetapi seseorang Jurulatih perlulah memainkan peranan yang pelbagai bagi mempastikan aktiviti latihan dan pembangunan yang dirancang oleh sesebuah organisasi dapat dijalankan dengan jayanya.

Antara Peranan Jurulatih adalah seperti berikut:-

1) Penganalisis Keperluan

Jurulatih akan bertanggungjawab terhadap aktviti ataupun program latihan yang dirancang oleh sesebuah organisasi.

2) PerekaBentuk Program

Jurulatih akan bertanggungjawab terhadap Fasa Rekabentuk Program termasuklah menyediakan bahan latihan dan peralatan latihan yang diperlukan semasa program berlangsung.

3) Jurulatih dan Fasilitator

Jurulatih juga bertanggungjawab terhadap perlaksanaan sebenar dan penyampaian maklumat program terhadap peserta yang terlibat.

4)Penilai Program

Jurulatih bertanggungjawab terhadap menilai keberkesanan aktiviti dalam program yang dijalankan. Laporan juga perlu disediakan untuk diteliti oleh pihak pengurusan organisasi.

5) Pegawai Pemasaran

Jurulatih bertanggungjawab untuk membuat pemasaran terhadap program-program yang dianjurkannya. Beliau juga bertanggungjawab untuk merekrut peserta untuk menyertai program latihan anjurannya.

Monday, 5 May 2008

Catatan Harian : 4hb Mei 2008

Dah beberapa hari saya tidak menukilkan apa-apa pun dalam blog saya ni. Minggu ni sedikit sibuk dengan hal kerja dan pelbagai hal peribadi lain. Rakan-rakan UIA yang lain seperti Dr. Noraini dan Bro. Faizul (Bekas Ketua Jabatan Bioteknologi, Kulliyyah Sains, UIAM) sudah semakin sibuk dengan urusan persiapan program UIA di London pada awal bulan Jun ni. Maaf sangat-sangat sebab kadang-kadang tu saya tidak sempat nak membantu secara 'total'. Tetapi InsyaAllah, saya akan bantu mana yang sempat especially berkenaan Transportation dan Foods untuk VVIP (Rector, Deputy Rector, Executive Director dan lain-lain) dan para peserta dari kalangan pensyarah UIA nanti...

Itu sahaja catatan saya kali ini..Setakat ini, tiada cerita menarik yang dapat saya kongsi dengan anda..hehe..