Selamat Hari Guru kepada semua Guru di Malaysia khususnya dan semua Guru di seluruh dunia amnya. Terima kasih kepada Guru-Guru yang berkorban dengan sepenuh hati bagi mendidik anak-anak bangsa menjadi satu generasi yang cemerlang. Ayah saya juga adalah seorang Pesara Guru Besar dan saya amat berbangga menjadi anak kepada seorang Guru.
Kalau hendak diceritakan perihal Guru-Guru yang pernah mendidik saya seawal dari Sekolah Rendah (SRK Tengku Indera Putera), Sekolah Menengah (SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan) sehinggalah ke Peringkat Universiti (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), terdapat pelbagai kisah suka dan duka bersama guru-guru dalam menjana peribadi diri menjadi insan yang berilmu.
Masih lagi teringat semasa belajar di Sekolah Rendah, seorang guru saya iaitu Cikgu Rogayah pernah memarahi dan mencabar saya kerana saya hanya mendapat B dalam keputusan percubaan UPSR bagi Matapelajaran Matematik. Macam-macam ayat dia 'bantai' saya supaya saya berusaha dengan lebih kuat lagi..hehe..Alhamdulillah, saya sahut cabarannya dan berjaya mendapat A dalam peperiksaan UPSR yang sebenar. Terima kasih saya ingin ucapkan kepada Ustaz Sulaiman (Allahyarham) dan Ustazah Zaharah yang tidak jemu-jemu melatih saya sehingga saya berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Bercerita Kisah-Kisah Nabi di Peringkat Seluruh Negeri Kelantan. Terlalu banyak masa mereka dihabiskan untuk melatih saya supaya lancar dalam penceritaan dan tidak gugup dihadapan juri dan penonton. Masih teringat lagi selepas sahaja pertandingan itu, minggu depannya saya diberi penghormatan oleh sekolah untuk berceramah mengenai Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail semasa perhimpunan sekolah diadakan. Habis sahaja ceramah saya, Guru Besar pada ketika itu naik ke pentas secara tiba-tiba dan secara spontan beliau menyeluk poketnya dihadapan semua pelajar dan mengeluarkan wang kertas bernilai RM 50 dan terus diserahkan kepada saya sebagai tanda penghargaan. Ada di antara guru-guru saya terkejut kerana 'aktiviti' serah duit itu tiada dalam jadual perhimpunan.hehe.rakan-rakan di bawah pentas, semuanya tergelak..haha..rezeki saya agaknya pada masa itu..terima kasih..
Kenangan di Sekolah Menengah pula, teringat kepada seorang Ustaz saya yang bernama Ustaz Zawawi. Beliau mengajar saya dan rakan-rakan lain dalam matapelajaran Feqah. Semasa beliau mengajar kami, semua rakan-rakan sekelas akan memberi sepenuh perhatian kepada pengajarannya lebih-lebih lagi kalau belajar Bab Nikah Kahwin (Bab An-Nikah). Haha..Kadang-kadang masa selama sejam dirasakan baru seminit berlalu..Macam-macam soalan yang ditanya oleh rakan-rakan lain dan Ustaz Zawawi ini pula akan jawab semua soalan sampaila kami faham. Gaya pengajarannya adalah seperti gaya seorang Guru Pondok mengajar. Itu yang membuatkan kami senang dengan corak pengajarannya..Tapi Awas..kalau keputusan peperiksaan dalam matapelajaran Feqah tidak memuaskan...maka rotan akan hinggap di punggung masing-masing sebagai 'hadiah' istimewa..
Itu antara kisah yang sempat saya tulis di sini perihal suka duka belajar dengan Guru-Guru..Banyak lagi sebenarnya dan kalau dihitung jasa guru dalam memberi ilmu kepada kita, rasanya susah untuk kita membalas jasa-jasa mereka. Semoga Allah merahmati mereka semua.
Ala Kullihal..Terima kasih kepada Guru-Guru yang banyak mendidik kami anak Malaysia menjadi generasi yang lebih berwibawa dan taat kepada Agama...













0 comments:
Post a Comment