Omar Ibni Al-Khattab yang menghancurkan Empayar Rum dan Parsi, menguasai Timur dan Barat yang tamadunnya pada zaman itu penuh dengan kekayaan harta dan perbendaharaan. Omar Ibni Al-Khattab kerap makan tidak berlauk, bajunya bertampal 12 tampal, lambat satu hari ke masjid hingga tertunggu-tunggu jamaah yang hendak beriman akan dia. Bertanya sahabatnya; "Kenapakah lambat ya Amirul Mukminin?" Sahutnya; "Aku membasuh kain (dan tunggu hingga kering) tak ada kain lain". Inilah ruh Tasauf yang menjelma melalui Omar Ibni Al-Khattab.
Aulia' Allah Daud Al-Thoni tidak mengunyah makanannya tetapi direndamnya dalam air sebelum menelannya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab, untuk menjimatkan masa kerana masa itu saya gunakan membaca al-Qur'an.
Mansur bin 'Amar berkata; Kebersihan hati dicapai dengan empat latihan: 1) Bergaul dengan Aulia' Allah, 2) Membaca Al-Qur'an, 3) Sembahyang di waktu malam, 4) Mengeluarkan air mata pada masa sembahyang.
Imamiyah Tasauf Sheikh Junaid Al-Baghdadi, pada waktu menerangkan tujuan Sufi, mengatakan, "Kami tidak mengambil Tasawwuf ini difikiran dan pendapat orang, tetapi kami ambil dari dari menahan lapar dan menahan kecintaan kepada dunia, meninggalkan kebiasaan kami sehari-hari mengikuti segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang." Jelasnya dan nyata sekali kini, bahawa Ilmu Tasauf ini bukanlah semata-mata ilmu yang hanya bermain-main dengan kata-kata hakikat atau makrifat yang dijadikan topik perbualan di kedai-kedai kopi dengan meremeh-remeh dan mempersendakan syariat. Ianya adalah sesuatu yang "besar" melebihi jangkaun fikiran. Allah hu 'Alam


















