OLEH:-
AL-FADHIL USTAZ SYED ASYARIF SAIDI SALEH
MOHD AL-JAAFARI ASSODIQ ALHUSAINI
TERJEMAHAN OLEH:-
AL-FADHIL USTAZ HJ. SAARI BIN HUSSAIN
IMAM UTAMA / PENAUNG
JAWATANKUASA KHAS
TAREQAT AHMADIAH IDRISIAH
SAHAH SURAU AHMADIAH HAJI AWANG ALIM
KOTA BHARU, KELANTAN DARUL NAIM
Telah berkata As-Said As-Syarif Sidi Soleh Al-Ja’afari As-Soddiqi Al-Husaini: “Dengarlah kata-kata ku ini wahai sesiapa yang Allah Ta’ala membuka pendengaran dan hatinya yang mengenal dengan maarifatNya akan RasulNya Muhammad SAW yakni dengan dalil dan petunjuk kerana Baginda Rasulullah SAW adalah Siraju Al-Munira (lampu yang menyuluh) yang daripadanya terpancar cahaya-cahaya dari pelbagai cahaya. Baginda Rasulullah SAW adalah bagai matahari yang mana cahayanya sampai ke mana-mana dan dapat dilihat serta dirasainya walaupun ianya jauh ke lembahan dan ke daratan tanpa rasa syak dan ragu-ragu lagi.
Sesungguhnya telah diriwayatkan dalam kitab sahih bahawa kehadiran para Anbia’ di malam Isra’ dan Mikraj ke Baitul Muqaddis yang mana mereka telah datang dari kubur-kubur kemudian berpindah ke langit tinggi. Baginda Muhammad SAW telah melihat Nabi Musa a.s sedang bersolat di dalam kuburnya kemudian turun ke suatu lembahan di Mekah dan Nabi Musa a.s bertalbiah kepada Tuhannya yakni Allah SWT. Ijma’ para Ulama’ mengatakan apa yang ditetapkan dan berlaku ke atas para Anbia’ itu adalah satu mukjizat mereka selepas mereka berpindah ke alam kubur dan adalah Rasulullah s.a.w tentang mukzijat tersebut itu adalah lebih utama dan lebih aula’ lagi.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah melihat para Anbia’ selepas mereka wafat di dalam keadaan sedar, demikian itu harus aku yakni As-Said As-Syarif Sidi Soleh Al-Ja’afari As-Soddiqi Al-Husaini melihat Rasulullah s.a.w. dan diceritakan bahawa banyak orang soleh melihat Baginda s.a.w. dalam keadaan jaga. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sesiapa yang melihat aku di dalam tidur (mimpi) maka tentu ia akan melihatku dalam keadaan jaga iaitu di dunia ini juga.” Keadaan berjaga itu disebut seperti yang disebutkan oleh As-Sayuti dan Ulama’ lain yang berwibawa.
Baginda s.a.w. juga akan menjawab salam sesiapa yang berselawat ke atasnya walaupun Baginda berada di tempat yang amat jauh. Oleh itu wahai saudara-saudara kami yang berada pada jalan Allah SWT, janganlah sekali-kali anda lupa menyampaikan hal ini. Ini adalah suatu isyarat daripada isyarat Zauqiah dan apa yang berlaku itu adalah percakapan yang mempunyai dalil iaitu petunjuk daripada sunnah yang soheh dan kuat.
Semoga anda akan bertuah dimana roh anda dapat menyaksikan Baginda s.a.w. dikala anda menyambut Maulid Nabi s.a.w. melalui penyaksian Qalbu kerana ini adalah matlamat orang yang asyik dari limpahan kecantikan Nur Muhammah s.a.w. Allah hu a'lam..













0 comments:
Post a Comment