CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, 21 April 2008

Fasa Pembangunan Kerjaya

Kebanyakan daripada kita akan menempuhi corak pendidikan yang terancang dan formal seperti melalui pendidikan di sekolah, kolej dan universiti sebagai persediaan untuk memasuki dunia kerjaya. Selepas selesai proses pendidikan secara formal tersebut, kita akan mula menerima tawaran kerja yang setimpal dengan kelulusan dan melalui peluang yang telah diberikan itu, kita akan cuba sedaya upaya memantapkan lagi pengukuhan kerjaya kita di organisasi tersebut atau di mana-mana organisasi lain. Berdasarkan pemerhatian Ivancevich, terdapat 4 Fasa Pembangunan Kerjaya yang mana setiap individu perlu melaluinya pada setiap peringkat tahap umur mereka. Antara fasa dan karakteristiknya adalah seperti berikut:-

1) Fasa Pertama : Fasa Perantisan (Apprenticeship Phase)

Fasa ini lebih dikenali sebagai Fasa Pengukuhan. Jarak masanya ialah di antara 5 tahun pertama seseorang individu atau perantis masuk bekerja di sesebuah organisasi. Fokus utama golongan ini adalah lebih kepada jaminan kerja dan aspek keselamatan dari segi peluang pengukuhan kerjaya. Individu pada tahap ini perlu bekerjasama dengan mereka yang mempunyai banyak pengalaman (biasanya pekerja senior) dan mesti menonjolkan kebolehan dalam mempelajari sesuatu yang baru dan dapat mempraktikkan ilmu yang dipelajari dengan berkesan.

2) Fasa Kedua : Fasa Kemajuan (Advancement Phase)

Golongan individu dalam fasa ini biasanya daripada kalangan mereka yang berumur lingkungan 30 sehingga 45 tahun. Fokus utama para pekerja di fasa ini ialah lebih kepada pencapaian yang baik dalam urusan kerja dan berharap mendapat pujian daripada hasil kerja. Kebanyakan daripada individu yang berada di tahap ini sebenarnya berkurangan dari segi kekangan stress kerja. Pekerja di tahap ini kurang kebergantungan kepada pekerja lain dalam melaksanakan tugas mereka kerana tahap ilmu dan pengalaman yang dimiliki.

3) Fasa Ketiga : Fasa Pengekalan (Maintenance Phase)

Pada fasa ini, individu akan bekerja bagi mengekalkan pencapaian kerja mereka di masa lalu. Walaupun tidak banyak pencapaian baik dalam urusan kerja yang dapat diketengahkan oleh individu pada fasa ini, tetapi kebanyakan daripada mereka boleh berubah menjadi lebih kreatif. Individu di fasa ini juga kebanyakannya sudah berpuas hati dengan pencapaian kerjaya mereka kerana segala kemahuan fisiologi dan kewangan telah dapat dicapai di peringkat awal kerjaya. Mereka akan memfokuskan kerjaya lebih kepada mempertahankan kebanggaan dalam urusan kerja dan juga mencapai kemahuan peribadi. Individu di peringkat ini juga akan dilantik sebagai mentor kepada mereka yang baru melalui fasa perantisan.

4) Fasa Keempat : Fasa Pemikiran Strategik (Strategic Thinking Phase)

Fasa ini juga dikenali sebagai Fasa Persaraan. Fokus individu di fasa ini adalah lebih kepada mencapai kemahuan kendiri masing-masing. Aktiviti mereka pula banyak memfokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan seperti perkhidmatan sosial dan kerjaya masyarakat yang rata-ratanya lebih mencabar dan memerlukan kesabaran. Aspek kepimpinan individu pada fasa ini adalah di tahap yang terbaik.

0 comments: